Monday, January 28, 2013

Ramai yang Masih Keliru Dengan Syarikat Takaful

Baru-baru ini dalam laman facebook seorang rakan saya, ada seorang ejen yang mempertikaikan tentang kepatuhan Shariah sesebuah syarikat takaful. Dakwanya lagi hanya satu sahaja syarikat takaful sahaja yang patuh Shariah, alasannya adalah hanya syarikat ini sahaja yang tersenarai dalam urusniaga patuh Shariah di bawah Suruhanjaya Sekuriti (SC). 

Memang betul hanya satu syarikat takaful sahaja yang tersenarai dalam urusniaga patuh Shariah di bawah SC. Namun kita kena faham apa fungsi SC, iaitu memantau urusniaga pasaran saham di Bursa Malaysia dan mereka akan mengkategorikan mana saham yang patuh Shariah dan tidak patuh Shariah. Buat masa ini hanya ada dua sahaja kaunter saham kewangan Islam yang diniagakan di Bursa Malaysia iaitu satu Bank dan satu lagi syarikat takaful. Lain-lain syarikat takaful mereka tidak mengeluarkan saham untuk diniagakan di Bursa Malaysia, maka sudah tentulah syarikat ini tidak tersenarai di bawah SC.

Sebagai seorang ejen takaful, apatah lagi ejen sepenuh masa selain daripada tahu mengenai produk-produk takaful yang ditawarkan kepada pelanggan mereka juga patut tahu bahawa sesebuah syarikat takaful itu adalah didaftarkan bawah Akta Takaful 1984. Akta Takaful 1984 adalah di bawah bidang kuasa BNM dan bukannya SC. Semua syarikat takaful yang beroperasi di Malaysia adalah tertakluk di bawah akta ini dan lain-lain garispanduan yang dikeluarkan oleh BNM dari semasa ke semasa.

Realitinya masih ramai ejen-ejen takaful yang tidak tahu berkenaan dengan Akta Takaful 1984. Maka atas kekurangan ilmu mereka akan memberi maklumat yang tidak tepat kepada pelanggan dan juga membuat perbandingan yang tidak tepat terhadap syarikat-syarikat takaful lain.

Akhir kata, saya hanya berkongsi sedikit maklumat yang saya tahu. Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai akta takaful sila rujuk link di bawah. Wallahu a'lam